‘T.T’


‘ Aku tidak mengharap pada purnama kawan, aku masih menyukai mentari. Mentari tidak pernah membelakangi aku. Meski malam, aku masih dapat melihat ia melambai. Ia juga sering memberiku rencam jenis sinar kawan. Fajar dan senja cukup memberiku pelbagai ceritera yg belum mampu kurungkai.’

– Al Fannani –

Biarlah


‘Dalam semak tohmah dan prasangka,
Dalam belukar nan sarat muram durja.
Dursila semalam?
Sebilah jasa tidak ampuh menebas
Setajam budi hanya mampu melibas.
Perakuan kita,
Kejujuran kita,
Itulah bisa yang menerjah
Melumpuh kita dengan belit kisah.

Biarlah.’

Al-Fannani
Dada Borneo, 1845
Ogos 13 2014

Cerita Tanah Suci


TIDAK pernah kurasa tenang seperti ini. Tiada kicau burung, tiada lagu seperti biasa menjadi irama telinga. Sekadar sepi dan merdu alunan bacaan yang sangat memukau. Kesucian yang mendidik untuk sentiasa mengeratkan lidah dengan aksara ketuhanan. Berbeza rasanya apa yang dilihat tanpa rasa berbanding melihat, menyentuh dan memijak dengan nyata di halaman TUHAN. Tidak mampu untuk kuceritakan,  sekadar membiarkan diri berenang mengikut arus kegembiraan. Sekelumit duga yang menjemputku di gerbang suci ini memberikan ku sebesar peringatan untuk cekal dan sabar. Dan kusedari di sekelilingnya punya hikmah yang diberi ILLAH.