Home » Darihal Penulis

Darihal Penulis

Seorang jejaka riang kelahiran negeri di bawah bayu bernama Khairoul Nashreeq bin Jaafar. Mula mengenali oksigen sekaligus mengendus di suatu tempat bernama Meternity Home Papar setelah disambut dengan tekun oleh seorang doktor india Nishat namanya. Dek kerana inilah dengan rasminya beliau mendapat gelaran Black versi gagah atau si Hitam versi ngeri. Berbangsa Brukistan( Brunai campur Pakistan). Anak ke 3 daripada 6 orang adik beradik dan semestinya beliau adalah anak yang paling berwajah comel dan kacak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Ugama Islam Kampung Kuala Papar, Kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah, Kota Kinabalu, merupakan salah satu sekolah yang menjadi pilihan ketika darjah 6. Beliau berjaya menghabiskan pembelajaran sehingga ke tingkatan 6. Dengan izin TUHAN masih diberi peluang oleh-NYA untuk meraih keputusan yang bisa melakar senyum kedua ibubapa pada peperiksaan STA dan STAM. Bagi beliau ia sebuah keputusan airmata. Kemudian beliau mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Africa Utara iaitu Morocco atau dengan nama lainnya Maghribi. Mulanya beliau tidak menyangkakan penerimaan tersebut kerana beliau hanya ‘suka-suka’ sahaja ketika mengisi borang dan memohon, persis menulis sesuatu di atas sehelai kertas A4 untuk dilipat-lipat menjadi kapal terbang kertas lalu dibaling dengan sekuat hati lantas bersorak riang menantinya terjunam di daratan. Maka tuhan telah memberi peluang untuk beliau lagi untuk sedar.Alhamdulillah.

Pada bulan februari 2008 beliau telah berjaya menggelarkan diri beliau sebagai seorang penjajah ijazah, Berkat daya usaha beliau, Alhamdulillah! Dalam tahun 2008 ini juga beliau dijangkiti penyakit menulis, dan telah disumbatkan ke dalam hospital Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) cawangan Morocco. Beliau mula disuntik dengan jarum puisi, dan mula menulis puisi sedikit demi sedikit. Nama pena beliau ialah Al-Fannani Beliau pernah menyertai sayembara puisi islam anjuran GKLN bahagian Maghribi, dan telah berjaya merangkul juara. Sekarang beliau menyertai projek antologi 50 penulis, antologi tersebut diberi nama antologi Bahasa Bumi, insyaAllah sedang dalam proses pengumpulan. Murah rezeki akan diiklankan disetiap media cetak dan televisyen. Sila dapatkan di pasaran berdekatan.

Syahadan, tika waktu pantas berlari, beliau telah menulis lebih daripada 20 puisi. InsyaAllah, moga-moga suatu hari nanti beliau menjadi seorang cedekia dalam arena penulisan.

Tatkala siang dan malam sering bergilir, beliau sudah berada di sebuah perkampungan rimba. Mengerah segala kerajinan mencari kerja yang akan menjamin masa depan beliau. Semoga jalanan hidup akan sentiasa rata.

Amin.

Advertisements