Damai Pagi


Pagi yang sangat romantik. Rencam keindahan terlihat sepanjang perjalananku. Jelas. Kelihatan urat langit yang berselirat. Damai. Demikian membuktikan sejuta keunikan ciptaan TUHAN yang tidak akan berjaya dirungkai dek akal manusia. Lafaz syukur kuzikirkan buat kesempatan menghirup udara yang luar biasa ini, yang ampuh menyalurkan ketenangan ke segenap pelusuk jiwa.

Allah
Allah
Allah.

Kedengaran hidupan menyebut nama itu saat kelihatan bayang mentari. Bertemali. Sinarnya sangat memukau, menyentuh seluruh dunia. Alhamdulillah.

Kuhirup dalam udara hingga terasa dinginnya. Moga ia masih ingin mendekatiku esok hari.

Advertisements

Tanpa Tajuk


Aku tidak akan berkata ‘tidak’ andai benar niat ingin berkawan. Semoga kita menjadi lebih baik dari kelmarin.

Ingin merubah seorang ‘jiwa’ yang kelihatan persis mencari haluan yang sarat kekunang.

Sekadar Bicara Pagi.


image

Pagi mendatangi kami dengan wajah kemurungan. Rintik hujan berjaya melembabkan pakaianku saat menuju ke sekolah. Mujur, perjalanan hanya menelan masa selama 5 minit sahaja. Pada awalnya, bisikan langit yang dibingkis bayu seakan menyatakan bahawa tidak ada sesi perhimpunan akibat renyai-hujan. Namun setibanya di sekolah, terasa diri seperti berdiri di muara yang kanan adalah laut, kiri ialah sungai: saling bergaul meski tidak bercampur. Demikian perasaan langit yang terdapat di daerah kami.

Rencam ekspresi wajah langit ini telah menyedut segenap kudrat seorang murid hingga rebah tidak sedarkan diri. Betapa ampuh jemari Tuhan sekadar sejentik kecil telah merubah kondisi seseorang makhluk.

Kem Literasi al-Quran


Kem Literasi al-Quran. Menjadikan pemilik jiwa yang bergelar murid lebih tekun untuk menghabiskan bacaan meski sekadar seketul-seketul huruf yang berjaya dibunyikan. Namun terdapat sebilangan yang berjaya menghabiskan bacaan seperti yang dirancang. Bantuan murid yang mampu membaca al-Quran dengan baik sangat bernilai.

Menunggu Bianglala


SEPI ini, adakala kerana kekeringan. Namun terus terang bukan kekeringan idea yang menyebabkan dinda Ratna Mutu Manikam ini terabai, malah hanya kerana pembaziran idea yang sering menjerat diriku. Mengapa aku kata pembaziran? Kerana acap idea itu mencurah, setiap detik aku menekan papan kekunci komputer riba di atas ruangan carian hingga sempurna menjadi alamat rumah dindaku Ratna Mutu Manikam ini, sekonyong-konyong terabai dan leka. Hingga aku melupakan segalanya begitu sahaja. Inilah sebenarnya sifat sang penulis yang harus dilontar sejauh mungkin, atau lebih nyata baiknya andai ditanam ke dalam perut bumi agar tidak mencelakakan diri.

Hari yang telah berlalu, segenap ceritera yang sarat rencam rasa dan mainan jiwa serta emosi. Segalanya memberikan impak kematangan yang jelas memberikan pelbagai tafsiran. Yang menyakitkan dan menggembirakan serta yang sarat lelucon segalanya membikin aku terfikir tentang mengapa ia terjadi dan bagaimana menangani. Apa lagi antara yang menyakitkan andai yang sering melukakan adalah mereka yang seperti ketam mendidik anaknya berjalan lurus. Atau lebih jelas dikatakan sebagai cakap tak serupa bikin. Semestinya kujerat lidah agar tidak  mencecah lelangit, agar diam kerana itulah yang sebaiknya. Mengharap agar satu hari aku akan ranum dengan kesegalaan ini.

Hari yang telah berlalu juga memberikan pelbagai kesedaran buat aku tentang beberapa perkara. Dan yang lebih menyukakan adalah khabar tentang Tuhan yang sering menyayangi. Pun, beberapa khabar yang kudapati telah mengendur sebilangan sendi, namun aku masih menanti hingga urusan itu selesai dengan pasti. Semoga ia menjadi realiti.

Andai yang kulihat itu
bianglala,
akan kupastikan terbitnya,
bukan disenjakala.

Rindu Sebagai Guru


TIDAK tahu bila akan selesai urusan permasalahanku ini. Sebulan sememangnya boleh dikategorikan sebagai satu jangka masa yang cukup lama untuk penantian. Sering kunanti khabar baik daripada beberapa pihak yang mengurus dengan tungkus lumus demi menyelesaikan masalah ini. Kuhargai tenaga mereka. Sememangnya sabar ini aku akui seperti batuan di tepi pantai, acap dikikis dek ombak yang rencam tenaganya.

Sering antara mereka bertanya tentang ceritera urusanku. Namun perbualan ini sememangnya melega meski di akhirnya kutemui siksa. Ya aku juga perlu akui bahawa tiada lagi kata-kata penutup bicara yang sesuai untuk mereda gelodak jiwa selain daripada yang demikian itu. Semoga ALLAH percepat, permudah urusanku dan memberikanku cahaya yang tertulis di dadanya JAYA.

Aku terlalu rindukan diriku sebagai seorang guru.

M


SAYA yakin semua orang pasti tertekan apabila duduk menanti jawapan yang sering membikin kepala pusing. Terkadang kita harus memahami bahawa manusia tidak lari dengan sifat perosak yang mencelakakan kehidupan. Huruf yang sama terletak di awal ejaan menggambarkan keserasian antara dua perkataan: Manusia dan Malas. Pelbagai alasan dan helah diberikan tatkala golongan perosak ini menapak dalam diri. Terkadang menyulitkan. Adakala menyakitkan sama ada buat diri atau orang lain.

Uh, Saya juga harus menghindar diri dari dihinggapi virus M yang terlalu rumit ini. Saya harap mereka-mereka yang berkenaan juga perlu berusaha menyingkir virus ini dari dalam diri agar kehidupan orang lain terjamin dan tidak gila dimamah penantian!