‘T.T’


‘ Aku tidak mengharap pada purnama kawan, aku masih menyukai mentari. Mentari tidak pernah membelakangi aku. Meski malam, aku masih dapat melihat ia melambai. Ia juga sering memberiku rencam jenis sinar kawan. Fajar dan senja cukup memberiku pelbagai ceritera yg belum mampu kurungkai.’

– Al Fannani –

Biarlah


‘Dalam semak tohmah dan prasangka,
Dalam belukar nan sarat muram durja.
Dursila semalam?
Sebilah jasa tidak ampuh menebas
Setajam budi hanya mampu melibas.
Perakuan kita,
Kejujuran kita,
Itulah bisa yang menerjah
Melumpuh kita dengan belit kisah.

Biarlah.’

Al-Fannani
Dada Borneo, 1845
Ogos 13 2014

Cerita Tanah Suci


TIDAK pernah kurasa tenang seperti ini. Tiada kicau burung, tiada lagu seperti biasa menjadi irama telinga. Sekadar sepi dan merdu alunan bacaan yang sangat memukau. Kesucian yang mendidik untuk sentiasa mengeratkan lidah dengan aksara ketuhanan. Berbeza rasanya apa yang dilihat tanpa rasa berbanding melihat, menyentuh dan memijak dengan nyata di halaman TUHAN. Tidak mampu untuk kuceritakan,  sekadar membiarkan diri berenang mengikut arus kegembiraan. Sekelumit duga yang menjemputku di gerbang suci ini memberikan ku sebesar peringatan untuk cekal dan sabar. Dan kusedari di sekelilingnya punya hikmah yang diberi ILLAH.

Kembali


MUNGKIN nafas ini tidak sama seperti dulu. Mungkin juga tidak dikenali. Dinda Ratna, kembaliku ini membawa beberapa berita gembira yang hampir menjejak kemuncak. Sememangnya dahulu telah mencoretkan pelbagai warna derita dan duga yang telah dilalui. Penantian yang sedikit-sedikit mengupas kulit sangat jelas sakitnya. Di situ iman telah diuji oleh TUHAN, yang menjadikan sabar itu ubat segenap rawatan. Doa menjadi suntikan, tawakal berbalut harapan. Benarlah seperti yang telah diwartakan ; Sabar itu indah. Ya benar. Sabar itu memang indah Dinda.

Masih belum selesai perjalanan ini.

Langkah itu tidak harus dihenti.

Masih ada yang perlu dinanti.

Selepas esok,

Ada janji yang mesti ditepati.

 

 

Boling


BOLING : Permainan yang memerlukan sebiji bola berlubang tiga mengikut saiz tiga jemari seperti Manis, Hantu dan Ibu jari. Digolek di atas satu lorong khas berhadapan dengan sepuluh pin yang merupakan bilangan objek daripada kayu atau bahan sintetik yang direka seperti botol disusun secara berkelompok untuk dijadikan sasaran pukulan bola. Bermain dengan ayah untuk beberapa pusingan. Aku masih berjaya mengekalkan kejuaraan walau agak jarang bermain disebabkan perkara yang tidak boleh dielakkan. Ya, faktor jarak tempat tinggalku kini sementelahan keadaan jalan yang berbukit-bukau tidak berapa mengizinkan untuk kerap pulang. Sesekali berjumpa rakan-rakan lama yang dahulu bersama-sama memperjuangkan nama sekolah sebagai sekolah agama pertama yang menjuarai pertandingan. Adakala seperti sebuah mimpi. Namun itulah hakikat. Bakat aku dan rakan-rakan rupanya telah diperhatikan oleh seorang jurulatih yang berkerja secara kebetulan pada waktu yang sama acap kami bermain. Siapa sangka. Semua itu adalah ketentuan Ilah. Dan lebih bermakna jika diertikan sebagai tuah. Barangkali itulah kalimat yang cukup indah dan mudah.

Bicara tentang permainan ini juga sememangnya mengimbas kembali kenangan pahit sewaktu dahulu. Pahitnya tidak sesuai dengan era pemikiran mengikut keadaan umur yang rasanya cukup ranum untuk rasional. Ya siapa kata umur 30-an boleh berfikir baik sentiasa bukan? Terkadang perasaan yang celaru, takabbur dan yang sejenis dengannya itulah yang melepaskan emosi tanpa arah. Melontar kata seperti makan tanpa basmalah. Namun, ya. Itulah kenangan. Tanpa kenangan siapalah kita di masa hadapan.

Kenangan itu mendewasakan.