Keputusan


Keraguan adalah sebuah dewan kerisauan melitupi pemikiran dengan padat. Bingar. Suara-suara bercericau datang dari setiap jihat jelas, mengucar-ngacirkan cepu kepala yang ligat berputar mencari lorong keluar. Apabila ragu telah datang, maka mereka yang diserang, akan terduduk mengeluh panjang. Mengharapkan petunjuk seni dari Rabbi melalui hati.

Kesukaran semalam menerbitkan mega-mega gelap yang sangat pekat. Masalah kewangan, menjadi punca keruntuhan keputusan yang terbina oleh kendiri. Kadang-kadang nasihat orang tua harus dituruti kerana disetiap aksara dan kalimat mereka ada hidayat dari Tuhan, pasti.

Di saat kemajuan dan globalisasi seiring merubah bumi, mereka berkata kerja tidak boleh dipilih-pilih lagi. Apa lagi, bagi mereka yang mempunyai masalah yang agak peribadi, keluarga atau ibu bapa (demi keamanan hati) baik lari dari diketahui. Biarkan saja menjadi makhfi.

Alangkah baiknya sekiranya pekerjaan itu tiada temuduga. Dek kerana kejauhan, inilah juga dalang yang sering menghalang. Mereka kata nanti berlaku pembaziran kesan negatif keputusan. Aku kata, semoga tuhan mencipta landasan buat mereka yang sering diberi dugaan.

Rasanya kala ini, apa-apa yang menerjah lamunanku, pasti tidak akan kuacuh sekuku pun.

Maaf, tawaran itu terpaksa kubiar begitu.

Advertisements