Deru Kegelisahan


BERMULA hari ini, denyutan nadiku menjadi bertabur. Kegelisahan yang memberontak dalam benak bukan kepalang. Kadang-kadang ia perlahan-lahan berubah menjadi rasa takut yang sungguh mega impaknya. Gemuruh dan gementar berbaur bersatu memberatkan kepala hingga adakalanya tingkah sumbang tercipta sewaktu dimamah lamunan. Kebuntuan? Inilah perasaan yang sering melukakan. Tatkala ini, aku sedari bahawa akulah seorang manusia yang sama ciptaannya dengan manusia yang lain, mempercayai bahawa TUHAN itu ada dan sentiasa mendengar segala rintih dan sentiasa menabur pertolongan pada yang berhak. Rasa ini sememangnya telah lama bertapak dalam dada dan minda.

Aku perlukan pertolongan dari TUHAN untuk menenang deru kegelisahan yang kian menyiksa.

Advertisements

Manusia Oh Manusia


AKU teruja dengan permainan dunia. Percaturan TUHAN sememangnya sarat hikmah. Aku tidak sekali-kali menganggap segala rencam dugaan dan cubaan ini adalah kebencian dari TUHAN, bahkan itu adalah bukti kasih sayang dan cinta yang DIA serahkan untuk aku nikmatinya dengan mendalam.

Hidupku kian digegar rencam kerenah manusia. Terkadang aku memilih lorong tawa untuk meleraikan segala kekusutan dan kemarahan yang terbelenggu, memerangkap atmaku dalam sangkar dendam. Di sinilah kewujudan kawan atau lebih enak kita gelar teman terasa begitu penting. Sementelahan teman itu juga adalah rakan sejawatan yang juga tersenarai sebagai carta manusia yang diserang lidah-lidah bercabang seperti aku. Di sini juga, sabar itu perlu dimengerti hingga sampai ke dasar definisi. Natijahnya adalah kemanisan dan keselesaan dan terasa TUHAN ada menghulurkan tangan.

Beberapa hari lalu aku diuji lagi dengan kiriman mesej pendek daripada fulanah binti fulan dan konco-konconya yang tidak bermoral. WAHAM. Sesekali aku tidak mengerti apa sebenarnya motif dan objektif mereka berbuat demikian. Dan aku akui, tawaku kala itu sungguh besar kerana kekarutan dan kejahilan mereka berfikir. Sesekali aku juga dimainkan dengan teka-teki,  yang terbit dipemikiran adalah sebuah tanda soal berkenaan manusia-manusia yang serabut perangainya dan mempunyai lidah bercabang dua atau lebih mudah kita katakan sebagai ‘talam dua muka’. Manusia yang membuatkan kita sering rasa ‘berbulu’ apabila melihat mereka dan mendengar kata-kata manis mereka bagai madu yang dialun hingga terhiris kalbu.

Barangkali kemunculan tahun baru ini menambahkan lagi kematangan yang aku miliki dari segenap aspek. Dan barangkali tahun baru ini juga yang akan memberi aku jalan untuk terus ke hadapan meredahi setiap badai yang menerjah perkampungan diri yang dahulu tenang dan aman keadaannya di awal perjalanan.

Aku akan terus waspada dan sering jadikan DOA sebagai wadah percakapan antara aku dengan TUHAN.

Musim Emosi


Saat ini yang menjadikan saya selalu tumbang adalah ribut tekanan yang sering melanda kawasan kepala. Saya juga tidak upaya memastikan puncanya kerana rasanya ribut ini datang dari setiap jihat: utara, selatan, timur juga barat. Semuanya serentak menghempap kawasan kepala dengan kejam.

Sebelah sini, ribut kesombongan yang saya tidak tahu bagaimana ingin meredakannya. Kerana saya juga tidak tahu apakah punca ribut itu melanggar kepala saya hingga saya haru. Sekiranya saya punya daya untuk mereda ribut yang buas itu, atau saya mendapati caranya, saya akan lakukan. Biarpun saya terbang melayang hingga terpisah denyut dan jantung.

Sebelah yang satu lagi, ribut bingar yang selalu menyerang saya acap pagi, petang, siang dan malam. Menjalar masuk ke lorong telinga, menyusur laju menghentam kampung hati, sampai segala deretan rumah buat sabar, berkecai menjadi puing-puing hitam, bernoda!

Musim emosi kala ini terlalu kritikal. Sekiranya berterusan, barangkali ribut akan bertukar menjadi taufan yang berlintar dan tsunami perasaan pasti akan menyerang segenap negara badan.

Saya harus tunduk untuk DIA.

Mencari Payung Katarsis II


SAYA tidak tahu kenapa perihal manusiawi sering menjadi melodi untuk lidah menari. Dalam masa yang sama hati dan otak mengiringi rentak, sehati. Bukan berniat untuk “mengata” namun dari sini kita boleh lihat kesedaran yang boleh kita raih menerusi muhasabah.

Mereka, hanya sekadar hidupan dari hutan; dengan otak yang kosong, keluar mencari sebuah kemajuan dalam kehidupan. Dengan kesungguhan dan pengalaman, kerendahan peribadi juga ketulusan hati , begitu mereka berjuang, menjejak ancala kejayaan. Setelah itu, mereka ini berpecah kepada dua bahagian, ada yang sentiasa berpegang kepada tauladan dan pengajaran kisah silam. Ada pula yang daripada insani menjadi lupa diri. Transformasi kedua inilah yang sering menjadi melodi lisan untuk menari rentak “sakit hati.” Saya sering berbulu dengan mereka yang sebegini. Terkadang meladeni mereka ini menghasilkan benci yang tersangat tinggi.

Saya akur dengan kelemahan sebuah hati, menjadi punca kejatuhan dan kemorosotan iman. Saya tidak akan pernah menyukai mereka yang “megah” dengan hak bukan milik kendiri. Walhasil, sudah patah kaki baru nak jaga diri. Baru celik dari angan-angan yang berjela. Kejadian sebegini sebenarnya sudah lama menjadi penduduk kampung klise. Sudah biasa bersipongang mencemar telinga menjadi kuman-kuman kebingitan. Saya resah, semakin resah meski, jiwa masih belum bergelora.

Keluh.

Mencari Payung Katarsis


Bingar. Saya sesekali tidak akan suka dengan keadaan hingar sebegini. Meletup kepala. Saya paling tidak suka kepada makhluk tuhan yang bermulut ribu. Dan saya tidak suka kepada manusia yang semut digajahkan. Rimas! Inilah daripada sebabnya saya lebih suka memencil. Betapa indahnya keadaan sepi. Saya sangat idamkan sebuah mahligai yang penghuninya ceria. Kesan kebisingan ini, manusia berpecah-belah. Setinggi mana gapura kesabaran, sekukuh mana sekalipun, kalau sering begini kejadiannya… pasti pecah juga dek keserabutan.

Mereka kata kerana kita bukan seorang nabi punya keperibadian murni. Sempurna segalanya. Namun bagaimana cara sebaiknya? Melekatkan “earphone” padat-padat ke telinga? Atau menjadi seorang yang pekak kepuraan? atau begini atau begitu? uh! Hujan emosi sangat deras. Saya perlukan payung katarsis kala ini.

Tulisan Pagi Isnin


PERSEKOLAHAN telah bermula, bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini, maka lekatkan azam di dada, berjuanglah bersungguh, moga tercapai kecemerlangan.

Hatiku meronta di pagi isnin, setelah akhbar maya kubaca, perit dada bagai ditekan, dihempap sesuatu yang berat. Tuntas terasa hati seakan basah, sebagaimana darah memercik lebat di semenanjung Gaza, begitulah deras airmata yang melanda. Walau hanya warta menjadi pencerita.

Puing-puing yang kecundang, meletup diketuk bom, sabarlah kerana andalah jelata syurga yang pasti. Telah dianugerahi kelebihan melalui tiket kemasukan ke alam kekal. Ke sebuah perkampungan yang tiada tara. Kesempurnaannya menggamit segenap raga. Usah ditangisi kematian para syuhada yang azamat, yang cekal berjuang demi kebesaran dan keagungan ALLAH, dan kemuliaan satu agama yang sebenar agama.

Betapa kekejaman binatang-binatang, dan sekalian najis duniawi ini, sebenarnya mereka ini adalah habuan Jahanam. Inilah realiti. Kebenaran kalam Ilah, tercatit dalam sebuah kitab suci, tentang najis duniawi yang tidak akan berhenti menghancur segala keislaman. Bangsat!

Akan aku terus gagahi diri, mengutus doa yang tidak terputus. Namun adakah itu mencukupi? Sekalian manusia hanya bersimpati, hanya sekadar menanti magis yang belum pasti akan menjadi?