Masih Ahli Bumi Lagi
SEMALAM, aku telah dibawa ke Pejabat Pendidikan daerah Kota Kinabalu. Membuat beberapa urusan berkaitan hal lawatan pelajar sambil belajar ke beberapa tempat yang telah ditetapkan. Aku telah dilantik sebagai setiausaha program. Perjalanan yang bermula pada waktu petang daripada Keningau menuju ke Kota Kinabalu melalui jalan Kimanis yang terkenal sebagai jalan bukit-bukau yang terlalu menakutkan, namun itulah salah satu jalan yang akan membawa anda dengan pantas ke gapura Kota Kinabalu. Syukur, TUHAN telah melindungi perjalanan kami. Dan aku rasa perjalanan hari itu terlalu pantas. Adakah disebabkan pemandunya yang terlalu pakar melewati rencam selekoh dan liku, atau aku yang memilih langit dan cakerawala untuk habuan mimpi?
Urusan kami sedikit tertangguh dek kerana beberapa perkara dan dokumen yang tidak lengkap. Oleh yang demikian demi menyelesaikan urusan kami memutuskan untuk menyiapkan segala dokumen dan urusan yang diperlukan sebelum pulang ke Keningau.
Malam, kira-kira jam 8.30, kami mendapat beberapa mesej ringkas mengatakan banyak pohon-pohon tumbang dan kayu berbaringan di jalan raya Kimanis. Kami mula memutuskan untuk menginap sahaja di Kota Kinabalu atau di Papar – di rumahku – dan bercadang untuk pulang pada awal subuh sebelum ayam menjerit mengejutkan matahari. Namun oleh kerana kerja yang boleh dikatakan banyak dan kekangan masa kami memutuskan untuk pulang pada malam itu juga.
Sebelum pulang, kami sempat melepak di Pasar Pilipin – satu tempat yang mempunyai deretan gerai yang banyak. Sasaran kami ialah ikan bakar. Sememangnya menjadi satu kepuasan. Tambahan aku seperti seorang yang kebulur, menelan makanan dengan begitu tekun menzahirkan segenap kenikmatan dari tiap celah isi ikan dan sotong, sementelahan sambal belacan yang berjaya meleraikan ikatan ruh dari jasad, juga turut membuktikan kelazatannya. Kala itu ketailah azam ingin menjadi seorang yang bertubuh sasa dan punya 8 ketul biji di daerah perut. Apatah lagi kalimat ‘diet’, sememangnya lenyap buat beberapa detik.
Malam itu, seperti menjadi satu sesalan buatku yang terlalu berkeras ingin pulang. Sebagai seorang pemandu waktu itu, sememangnya kesyukuran begitu tinggi aku panjatkan ke atas ALLAH yang telah menyelamatkan kami. Kabus yang terlalu tebal, melitupi segalanya, hingga aku terpaksa mengikuti garis jingga yang terdapat di dada jalan raya dicampuri deras angin yang mengganas membuktikan betapa maut itu sedang tegak menanti nyawa di hadapan. Syukur, TUHAN masih izinkan kami untuk menjadi ahli bumi lagi.

huh…naseb baek selamat ye! alhamdulillah..
baek sungguh cekgu yang sorg ni..amat penyayang pd anak2 murednye..ehehe..
untun anak2 mured tu..sy pon nk jd anak mured ostat jugakla, boleh? ngeh3..
assalamualaikum
izinkan saya link blog bro di blog saya.
saya nak kongsi dengan semua.