GEMBIRA
UNTUK kesekian kalinya, kucoretkan sebuah kisah gembira yang sedang menumbuh mekar dalam taman atma. Barangkali ini adalah buah ranum yang tumbuh dari benih rindu yang telah lama tertanam di ladang hati. Ya, sejak terbang mencari ilmu di negeri orang, hingga beberapa purnama setelah kepulangan, rindu ini sering mendampingi mencari sebuah jiwa yang pernah rapat dengan diri. Benar, ukhwah itu terlalu indah. Sukar untuk dinafi. Dan untuk berjuta kalinya, syukur itu mengalir deras dari sungai bibir.
Cerita gembira seterusnya juga turut hadir menjelang hari raya. Pertemuan antara beradik dan keluarga menerbitkan suasana yang terlalu harmoni. Yang telah terpisah dek kerja, dan yang tercerai kerana tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan dengan teguh, ditemukan oleh TUHAN dalam sebuah bulan yang sarat pengertian. Yang mendalam.
Terlalu banyak kegembiraan yang datang dalam jangka masa yang sebegitu ringkas dan cepat. Kesenangan dan kemudahan dalam pelbagai urusan telah diatur oleh TUHAN untuk hamba-Nya. Kepada kita, menetapkan dalam hati untuk terus bersyukur atas rencam nikmat yang sarat azimat dan hikmat.
ALHAMDULILLAH
