Kepulangan Ke Keningau

2009 August 30
by Al-Fannani

HARI ini merupakan hari terakhir buat kami guru-guru pelatih menghadiri kelas. Setelah ini tiada lain yang akan kami lakukan hanya berpisah dan pulang ke daerah masing-masing demi menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. kami akan menghitung hari demi sebuah pertemuan yang seterusnya pada bulan november nanti.

Kepulangan menuju ke Keningau – Kampung kedua yang sering dirindu sejak beberapa bulan yang lalu setelah bergelar guru di sebuah sekolah yang cukup memberikan aku inspirasi dan kebahagian. Ya, tidak lupa juga buat pengajaran. Kepulangan pada hari ahad petang, menyampaikan pesanan hati yang begitu dalam menanti panggilan. Biarkan monolog terhenti seketika.

Petang, cadangnya aku ingin berbuka dengan seorang anak murid yang telah lama menanti kepulanganku. Namun dek kerana sistem perhubungan yang tidak begitu menggalakkan pertemuan, maka kukirimkan pesan melalui hati agar sampai ke nubari sang murid untuk menyedari kepulanganku. Kemudian, terbatallah perancangan lalu aku habiskan masa yang sebelum dengan membersihkan seluruh kawasan dalam rumah. Cukup mendahaga dan melemahkan raga. Petang itu aku dan beberapa orang ahli rumah dijemput untuk berbuka puasa di sebuah kediaman punya teman yang juga seorang cikgu dibahagian pedalaman.

Malam, sesegar deria menghidu persih udara. Panggilan untuk berhimpun menuju ke sebuah destinasi kejayaan bersahut-sahutan di setiap penjuru kota Keningau. Buat mereka yang inginkan pahala tambahan, maka dipersiap diri untuk menunaikan kewajipan diiring yang sunat secara berjemaah. Bangunan berwarna kuning-jingga adalah sebuah masjid yang terletak di tengah Kota marga Keningau. Jarak yang tidak sebegitu jauh dari rumahku, namun perlu menaiki sebuah kenderaan untuk sampai lebih cepat. Lalu, kuhadirkan segenap raga baur jiwa sebagai satu penyerahan. Dalam kehinaan dan kerendahan diri begitulah cara bersemuka dengan Rabbul Izzati.

Usai menunaikan solat tarawih, mata ini bergerak kiri dan kanan. Hati pantas mengikuti rentak gerak mata. Adakalanya gerak hati itu berjaya merentasi kelajuan mata kala berdegup. Mencari kelibat seorang yang inginkan didikan dan ajaran. Namun, malam itu menjadi saksi perih sebuah gejala menanti .

No comments yet

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS