Remaja Dan Masjid
SAYA ada terbaca satu makalah tentang institusi masjid. Golongan remaja harus dididik untuk rajin menziarahi masjid, kerana masjid adalah pusat pengembangan ajaran islam. Setelah itu saya terbayang-bayang suatu ketika dahulu, waktu saya dipanggil secara mengejut untuk turut serta menghadiri mesyuarat bagi acara atau program yang bakal diadakan di masjid. Antara fokus mereka adalah golongan remaja. Sudah menjadi terlalu sukar, hingga suatu ketika boleh dikata barangkali ini adalah jalan mati buat para remaja untuk datang. Apatah lagi untuk memupuk nilai cintakan masjid. Hingga, di suatu saat, tercetus idea dikalangan ahli mesyuarat untuk mengadakan acara karaoke nasyid semata-mata ingin menarik para remaja untuk menziarahi masjid. Mungkin dengan pendekatan ini boleh menggerakkan hati mereka untuk terus hadir ke masjid. Namun bagi saya sedikit janggal dan aneh apabila kalimat ‘karaoke’ itu digunapakai. Sememangnya sudah menjadi terlalu lazim, manusia akan pantas menghadiri sesi karaoke atau pertandingan dari segala yang bersangkut paut dengan nasyid atau keagamaan. Sedang irama nasyid dewasa ini juga sudah baligh, mengalami transformasi semakin hari semakin menyerupai rentak-rentak rancak sekadar lirik menjadi beza.
Tuhan Maha Tahu
