Majlis Perkahwinan
AKU menghadiri majlis perkahwinan seorang kawan lama. Juga merupakan jiran yang terlalu rapat. Seorang perempuan yang berkahwin dengan jejaka dari negeri Perak, merupakan seorang navy yang berkhidmat di Sabah. Ketika kecil, kami sering bermain kejar-kejar dan tapuk-tapuk ( sorok-sorok ), Kalau dikenang, segalanya menjadi sebuah senyuman yang berkilau.
Majlis berlangsung selama dua hari. Dan kedua-dua hari ini, aku dan keluarga sibuk mengurus set karaoke yang telah disewa. Sejak semalam, bersiponganglah suara-suara mereka yang merdu itu. Dalam masa yang sama, aku juga turut meringankan tulang membantu menyediakan jamuan untuk tetamu yang datang.
Usai menyediakan makanan, dan senang melihat tetamu menjamu selera serta saling ramah mesra, aku duduk bercerita dengan seorang kawan ( abg kepada pengantin perempuan ). Semasa sedang rancak bercerita, sekonyong-konyong kami didatangi oleh seorang lelaki – antara ahli keluarga atau rakan kepada pengantin lelaki. Kemudian lelaki itu berkata : ” Boleh minta air sirap?”. Dengan keadaan diri yang agak terkejut, kami berpandangan. Setelah beberapa saat, senyuman kami ukirkan bersama perlahan-lahan menjadi sedikit tawa.
Aku berkata, barangkali orang ni tidak tahu, di Sabah, pada majlis perkahwinan iaitu pada hari yang digelar sebagai malam berbedak – pada malam ahad- kami hanya menghidang minuman panas dan air sejuk sebagai tambahan. Dan kami tidak menyediakan apa-apa minuman lain seperti sirap dan sebagainya. Dan istilah ‘order‘ ini tidak wujud. Lalu kami menghantar seseorang untuk memberi penerangan dan akhirnya mereka faham. Aku tidak tahu, bagaimana suasana majlis perkahwinan masyarakat semenanjung. Mungkin sama mungkin beza.
Alahai, melihat mereka yang kahwin ini, membuatkan ku berfikir tentang giliranku yang entah bila akan tiba.

Sudah sampai serukan kata orang. Tahniah buat pengantin barunya.
Bila fikir pasal “bila pula giliran kita?” terasa seakan lemas dalam benak sendiri. Entahlah. Biar DIA yang menentukan. Sampai masa akan datang jua.