Hari Inikan Jumaat

2009 May 8
by Al-Fannani

BUKAN mudah untuk menetapkan di kepala dan hati untuk berselawat kepada junjungan s.a.w. Pada hari-hari biasa adalah terlalu sukar untuk memperingati walau sedetik. Barangkali terdapat sesetengah daripada kita yang hanya berdiam ketika seseorang menyebut penuh nama junjungan s.a.w. Dan mungkin tidak dinafi mereka menjadikan hati sebagai penyahut. Apakah hari ini yang bernama jumaat dan terkenal dengan gelaran sayyidul ayyam akan menjadikan nabi dibanjiri pujian dari segenap umat? Peringatan kerap disebut untuk berselawat ke atas junjungan pada detik bilal menjemput khatib untuk naik ke mimbar juga oleh khatib ketika di akhir khutbahnya. Namun menjadi sebuah persoalan tentang kesedaran segenap jemaah ke atas peringatan itu. Barangkali mereka tidak memahami maksud dalil yang disebut. Mustahil. Apakah tidak ada setitik kefahaman ke atas sepotong ayat yang acapkali dibacakan ketika jumaat? Atau lidah mereka terlalu berat untuk digerak sehingga pantas mengambil langkah untuk biar dan diam. Ya sekali lagi, mungkin mereka menggunakan hati sebagai lidah dan penyahut. Allah knows best.

Jumaat ini mengingatkan saya dengan situasi beberapa orang jemaah yang duduk di kaki lima masjid. Beberapa kepala sedang rancak bercerita dengan menggunakan kadar suara serupa berbisik. Namun tawanya jelas kedengaran membenteng suara khatib yang sarat pengajaran untuk sampai dengan selamat ke telinga jemaah. Kemudian seorang jemaah – kiranya yang baharu datang dan terdengar kekehan golongan itu – menghampiri mereka dan menegur dengan muka sedikit marah. “Tidak boleh berbicara ketika khatib sedang membaca khutbah, jumaat tidak sah”. Setelah itu dia berlalu dan masuk ke perut masjid. Saya tahu kepala-kepala yang bercakap itu memang antara yang datang sia-sia ke masjid. Namun si penegur itu? Saya rasa dia tahu status jumaatnya pada hari itu bagaimana.

2 Responses leave one →
  1. 2009 May 9
    ais putih permalink

    awu jumaat tu banar..

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS