Musim Emosi
Saat ini yang menjadikan saya selalu tumbang adalah ribut tekanan yang sering melanda kawasan kepala. Saya juga tidak upaya memastikan puncanya kerana rasanya ribut ini datang dari setiap jihat: utara, selatan, timur juga barat. Semuanya serentak menghempap kawasan kepala dengan kejam.
Sebelah sini, ribut kesombongan yang saya tidak tahu bagaimana ingin meredakannya. Kerana saya juga tidak tahu apakah punca ribut itu melanggar kepala saya hingga saya haru. Sekiranya saya punya daya untuk mereda ribut yang buas itu, atau saya mendapati caranya, saya akan lakukan. Biarpun saya terbang melayang hingga terpisah denyut dan jantung.
Sebelah yang satu lagi, ribut bingar yang selalu menyerang saya acap pagi, petang, siang dan malam. Menjalar masuk ke lorong telinga, menyusur laju menghentam kampung hati, sampai segala deretan rumah buat sabar, berkecai menjadi puing-puing hitam, bernoda!
Musim emosi kala ini terlalu kritikal. Sekiranya berterusan, barangkali ribut akan bertukar menjadi taufan yang berlintar dan tsunami perasaan pasti akan menyerang segenap negara badan.
Saya harus tunduk untuk DIA.
