MAHA SUCI ALLAH

2009 June 20
by Al-Fannani

Malam itu aku kata aku ingin bangun lewat, agar aku lupa hari ini adalah keputusan. Dan pernah pada hari lalu, seperti aku inginkan 17 hb ini dipadam, biarkan menjadi tahun lompat. Pernah juga aku katakan, aku ingin menutup komputer riba ini untuk beberapa hari demi menghilangkan debar dan gentar. Terlalu banyak yang ingin kulaku dan perkata, segalanya demi sebuah hari yang lahir pada 17  jun. Hari yang menjadi taruhan buat segala keputusan yang telah kulakukan.

Jiwa, sememangnya redup kegembiraan. Tatkala hati menjadi terlalu bahagia, mata mula mempamerkan kebasahan. Barangkali ini suatu kegembiraan. Ya mungkin.

Telah nyata, istikharah itu sememangnya berkesan jika dibikin dengan tekun dan gigih. Segala jawatan dahulu yang kutolak, semuanya adalah hikmah. Aku yakin, bisikan TUHAN itu adalah yang terampuh. Ragu was-was dan waham pasti akan lumpuh.

Alhamdulillah, isnin ini aku akan memulakan pembelajaran untuk meraih diploma pendidikan. Katanya, aku berjaya memasuki KPLI-JQAF untuk mata pelajaran bahasa arab. Lantas, aku perlu bergegas menyediakan segala dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran kelak. Kepada kalian yang sering mendoakan, semoga ALLAH terus merahmati kalian.

Masih banyak yang perlu kuatur demi sebuah mukadimah perjalanan menjadi guru. Semoga ALLAH terus permudahkan segala urusan.

Remaja Dan Masjid

2009 June 16
by Al-Fannani

SAYA ada terbaca satu makalah tentang institusi masjid. Golongan remaja harus dididik untuk rajin menziarahi masjid, kerana masjid adalah pusat pengembangan ajaran islam. Setelah itu saya terbayang-bayang suatu ketika dahulu, waktu saya dipanggil secara mengejut untuk turut serta menghadiri mesyuarat bagi acara atau program yang bakal diadakan di masjid. Antara fokus mereka adalah golongan remaja. Sudah menjadi terlalu sukar, hingga suatu ketika boleh dikata barangkali ini adalah jalan mati buat para remaja untuk datang. Apatah lagi untuk memupuk nilai cintakan masjid. Hingga, di suatu saat, tercetus idea dikalangan ahli mesyuarat untuk mengadakan acara karaoke nasyid semata-mata ingin menarik para remaja untuk menziarahi masjid. Mungkin dengan pendekatan ini boleh menggerakkan hati mereka untuk terus hadir ke masjid. Namun bagi saya sedikit janggal dan aneh apabila kalimat ‘karaoke’ itu digunapakai. Sememangnya sudah menjadi terlalu lazim, manusia akan pantas menghadiri sesi karaoke atau pertandingan dari segala yang bersangkut paut dengan nasyid atau keagamaan. Sedang irama nasyid dewasa ini juga sudah baligh, mengalami transformasi semakin hari semakin menyerupai rentak-rentak rancak sekadar lirik menjadi beza.

Tuhan Maha Tahu

Kembali

2009 June 16
by Al-Fannani

SUDAH terlalu lama aku meninggalkan Ratna Mutu Manikam. Terlalu lama aku tidak membelainya dengan jemari sepuluhku ini.

Majlis perkahwinan, memang terlalu rumit. Perlukan perancangan awal untuk melaksanakannya. Begitulah aku yang turut terlantik menjadi designer kad kahwin. Sebenarnya, pada awal-awal perbincangan, aku seperti berat untuk memegang tugas itu, namun setelah kunilai, barangkali tidak salah untuk aku cuba bakat yang ada. Walau tidak sehebat dan sepakar mereka yang lain, yang sememangnya sudah masak dengan perihal reka bentuk ini. Hasilnya, aku rasa boleh dikata memuaskan. Dan mereka yang melihat, majoriti mengatakan kad kahwin rekaanku cantik dan lain dari yang lain. Benarkah? Aku sendiri tidak mengerti.

Kebelakangan ini, aku akui, sudah terlalu jarang menulis, terkadang idea yang muncul kubiar tanpa kucatit pada helaian kertas. Sungguh membazir. Betapa aku merasakan kehilangan dan kerugian. Kesedaran yang kuraih, mencelikkan hati mata yang sekian lama pejam. Benar, tatkala masa menjadi terlalu pantas, tatkala leka dan alpa melahirkan kemalasan, sudah pasti lalai merajai segenap badan. Minda? kusut lantas menjadi bisu. Rasanya aku harus berlatih menangani kesibukan. Harus bijak membahagi masa menjelang waktu sudah berkerja kelak.

Masih ada kerja yang perlu disiapkan. Terasa seperti terlalu sibuk pula mengalahkan Perdana Menteri.

Hukum Nikah

2009 June 5
by Al-Fannani

” HARAM menikahi gadis satu kampung”. Fatwa baru dari JAKIM. Fatwa ini menimbulkan polemik dan bantahan. Banyak pihak menyatakan bahawa JAKIM terburu-buru membuat keputusan. Bagaimana JAKIM boleh mengeluarkan fatwa HARAM menikahi gadis satu kampung, seorang pegawai dari JAKIM menjelaskan, ” Bagaimana tidak haram, sedangkan kahwin empat pun dah ramai inikan lagi satu kampung.

Semakin banyak SMS sebegini yang aku terima. Dan SMS di atas, aku tidak menjumpai siapakah gerangan pengirim. Hanya nombornya sahaja kelihatan. Sudah pasti namanya tidak pernah ada di database telefon ku.

Semalam, sedang kami duduk melihat wayang jangan tegur. Sekonyong-konyong kilat memancar seperti menyambar sesuatu di sebelah jendela. Selang beberapa saat, maka guntur pula berdentum. Kuat sekali. Kedua-dua ini telah menjadikan lampu rumah kami ketakutan dan bergetar. Aku dengan pantas mematikan laptop kemudian mengambil keputusan untuk tidur. Usai beberapa minit mencari saluran, tiba-tiba putaran kipas menjadi perlahan, lampu-lampu kelihatan berkelip-kelip. Aku bingkas untuk mematikan suis TV. Namun terlihat ayahku masih lagi khusyuk melihat wayang. Lalu aku kembali mencari mimpi.

Bunyi kokokan ayam yang lahir dari telefon bimbit ku berjaya mengejutkan aku untuk bersolat subuh. Usai melaksanakan kewajipan, aku putuskan untuk melihat tv. Hajat ingin melihat rancangan-rancangan bermanfaat yang biasanya akan ditayangkan kala fajar menjelma. Namun, masaku terbuang hampir 30 minit hanya untuk menghidupkan TV. Aku tahu, ini adalah hasil panahan lintar. Dan ayahku yang terlalu khusyuk menonton pelakon saling bertendangan harus dipersalahkan kerana menonton kala lintar dan guntur membuat persembahan.

TV rumah rosak lagi, untuk kedua kali! Angkara siapa murid-murid? Angkara lintar cikgu! (ngah!)

Kemalangan

2009 June 2
by Al-Fannani

Kisah kemalangan yang berlaku di jalan Tuaran telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Orang ramai yang ada di tempat kejadian sedang mengerumuni mayat yang terbujur kaku. Pada masa yang sama, ada seorang pemuda yang ingin melihat mayat tersebut namun tidak berpeluang kerana terlalu ramai orang. Lalu dia mendapat idea lantas berkata : ” Ketepi! Ketepi! Dia abang saya!

Orang ramai pun hairan dan memberi laluan. Alangkah terkejutnya pemuda tersebut kerana mayat yang dikerumuni itu adalah seekor monyet. Pemuda itu terus berjalan miring-miring tanpa menoleh ke belakang dan berkata : “Ihh! Sia mabuk bainihh! KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN. ARAMAITI!

Benar, terdapat kebaikan dan keburukan SMS. Seperti di atas, SMS ini berjaya menjadikan saya gila seketika.

Majlis Perkahwinan

2009 May 31
by Al-Fannani

AKU menghadiri majlis perkahwinan seorang kawan lama. Juga merupakan jiran yang terlalu rapat. Seorang perempuan  yang berkahwin dengan jejaka dari negeri Perak, merupakan seorang navy yang berkhidmat di Sabah. Ketika kecil, kami sering bermain kejar-kejar dan tapuk-tapuk ( sorok-sorok ),  Kalau dikenang, segalanya menjadi sebuah senyuman yang berkilau.

Majlis berlangsung selama dua hari. Dan kedua-dua hari ini, aku dan keluarga sibuk mengurus set karaoke yang telah disewa. Sejak semalam, bersiponganglah suara-suara mereka yang merdu itu. Dalam masa yang sama, aku juga turut meringankan tulang membantu menyediakan jamuan untuk tetamu yang datang.

Usai menyediakan makanan, dan senang melihat tetamu menjamu selera serta saling ramah mesra, aku duduk bercerita dengan seorang kawan ( abg kepada pengantin perempuan ). Semasa sedang rancak bercerita, sekonyong-konyong kami didatangi oleh seorang lelaki – antara ahli keluarga atau rakan kepada pengantin lelaki. Kemudian lelaki itu berkata : ” Boleh minta air sirap?”. Dengan keadaan diri yang agak terkejut, kami berpandangan. Setelah beberapa saat, senyuman kami ukirkan bersama perlahan-lahan menjadi sedikit tawa.

Aku berkata, barangkali orang ni tidak tahu, di Sabah, pada majlis perkahwinan iaitu pada hari yang digelar sebagai malam berbedak – pada malam ahad- kami hanya menghidang minuman panas dan air sejuk sebagai tambahan. Dan kami tidak menyediakan apa-apa minuman lain seperti sirap dan sebagainya. Dan istilah ‘order‘ ini tidak wujud. Lalu kami menghantar seseorang untuk memberi penerangan dan akhirnya mereka faham. Aku tidak tahu, bagaimana suasana majlis perkahwinan masyarakat semenanjung. Mungkin sama mungkin beza.

Alahai, melihat mereka yang kahwin ini, membuatkan ku berfikir tentang giliranku yang entah bila akan tiba.

Amanat Guru Besar

2009 May 27
by Al-Fannani

SIAPA sangka kehadiranku di S.K. Sahabat 16 tempoh hari mengundang sengih oleh pakcikku. Tidak sampai beberapa minit bersemuka dengan guru besar, aku sudah diberikan tugas: menulis khat. Tugas ini rasanya tidaklah begitu berat cuma memerlukan bakat untuk menghasilkan tulisan yang berkualiti dan kemas. Aku rasa aku punya bakat itu. Walau tidak sampai ke tahap PAKAR.  Dan aku tidak tergamak untuk menolak tugas ini kerana aku yakin, pengalaman lalu menghias dinding sekolah dengan tulisan khat cukup untuk membuktikan yang aku boleh melakukannya. Lalu aku dengan tenang menjawab pertanyaan sang guru besar dengan jawapan ” InsyaAllah”.

Dalam perjalanan pulang, aku teringat sesi ceramah ringkas dari guru besar. Antara frasa yang melekat di cepu kepala ialah :

Sekolah ini besar, banyak kelas. Saya sekiranya ingin ke kelas, saya akan langkah 2 anak tangga. Dan saya nak Khairoul langkah 3 anak tangga sekali.

Tergelak juga kalau dikhayalkan kata-kata guru besar ini. Mana mungkin aku melangkah 3 tangga sekali. Nanti masuk kelas ditertawakan oleh pelajar akibat seluar koyak seperti digigit binatang yang rakus. Takpun, keluar bilik guru dengan gaya macho dan lagak juara Mr. Universe, masuk kelas jadi ahli OKU cacat terlebih pula nanti.  Tapi aku mengerti, maksud yang tersirat. Guru Besar itu sebenarnya mahukan kita tepati masa. Dan tidak mahu kita berlengah membuang masa.

Banyak juga wasiat guru besar hari lalu. Sindiran juga ada. Kelalaian aku tidak mengenakan songkok pada hari itu. Pada hemat aku, mereka fikirkan yang aku akan terus bertugas namun sebaliknya aku hanya ingin melapor diri dan meminta izin cuti untuk menyelesaikan urusan kesihatan dan sebagainya yang telah diarahkan sebelum mula mengajar. Malangnya, kini aku sedang duduk di atas sebuah bangku berwarna ragu. Menanti kehadiran sebuah sinar kuning dari daerah yakin.

S.K Sahabat 16, Lahad Datu

2009 May 26
by Al-Fannani

sk.sahabat16

S.K. Sahabat 16, Lahad Datu

AKU terkejut ketika sesi penyerahan surat perlantikan dan penempatan. Namaku disebut, kemudian nama sekolah yang berjaya menjemput riuh-rendah bilik gerakan S.K. Pekan 1, Lahad Datu. Sedihnya, aku tidak layak mendapat elaun hidup susah sekalipun S.K. Sahabat 16 ini, kedudukannya terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit dan jaraknya daripada Bandar Lahad Datu kira-kira seratus lebih kilometer.

Kini, aku berada di kampung halaman. Pulang seketika untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan akuan sumpah. Aku mohon perlanjutan tarikh lapor diri hingga lepas cuti semester nanti.

Buat masa ini, aku sedikit berat untuk mengajar di SK.Sahabat 16 itu kerana beberapa sebab. Dan aku berhajat untuk membuat permohonan perpindahan ke sekolah yang terletak di bandar. Sekiranya jawatanku ini berstatus tetap, maka tanpa waham aku akan bertugas di sekolah tersebut. Namun, beberapa sebab ini, membuatkan aku berfikir dalam-dalam. Aku juga turut menerima nasihat dan saranan daripada pakcikku yang membawa aku ke S.K. Sahabat 16 hari lalu. Dan kata-katanya itu seolah-olah menyarankan aku untuk berfikir dan membuat pemilihan yang tepat. Pening.

Moga-moga istikharah membuah hidayah dari ALLAH

Dukacita

2009 May 18
by Al-Fannani

APPLICATION FOR ADMISSION TO THE MASTER OF SYARIAH BY COURSEWORK AND RESEARCH, SEMESTER 1, 2009/2010 ACADEMIC SESSION

Name                    : Al-Fannani
New IC / Passport Number : XXXXXXXXXXXX
Faculty                  : ACADEMY OF ISLAMIC STUDIES

We regret to inform you that your application for the above programme is unsuccessful.

Thank you for your interest in the University of Malaya.

Aku percaya ada hikmah pada kegagalan ini.

Hati semakin rancak berperang dengan fikiran. Sedikit demi sedikit keyakinan tercantas untuk menerima panggilan GSTT. Aku harus mencari TUHAN di celah kekusutan.

Lahad Datu

2009 May 16
by Al-Fannani

MASAKU telah dirampas oleh temuduga yang berlangsung selama 2 hari berturut-turut. 13hb lalu sesi temuduga terbuka telah dijalankan di beberapa buah negeri. Sabah adalah salah satu antara negeri-negeri tersebut. Siapa yang datang pasti teruji kesabaran. Terlalu ramai siswazah yang menganggur. Aku adalah salah satu diantara golongan itu. Kedatangan pada hari pertama tidak menjanjikan kesempatan untuk ditemuduga. Lalu pulang begitu sahaja setelah matahari tergelincir kira-kira jam 7 petang. Esoknya aku punya temuduga lagi iaitu temuduga KPLI-JQAF. Jadi aku harus membuat persediaan yang lebih rapi.

Esoknya – 14hb Mei – aku menghadiri temuduga KPLI-JQAF bersama beberapa orang peserta lain yang datang dari rencam tempat sekitar negeri Sabah. Kami berhimpun di Maktab Perguruan Gaya Kota Kinabalu. Agakku ramai yang akan datang namun, hanya 6 calon sahaja yang dipanggil untuk menjalani sesi temuduga hari itu. Aku tidak tahu, barangkali aku sememangnya seorang yang sering disoal dalam jangka waktu yang lama. Seperti pembentangan tesis ketika berada di Morocco. Aku adalah pelajar yang paling lama disoal siasat. Dan ketika temuduga individu untuk KPLI, aku mengalami situasi yang sama. Hampir sejam sesi soal dijalankan banding calon lain yang hanya memakan masa 30 minit sahaja. Hendak dikata aku keluaran luar, ada juga seorang graduan dari Jordan yang ditanya sekitar 30 minit sahaja. Mungkin ini adalah antara cabang-cabang cubaan dari TUHAN. Bertutur dalam bahasa arab itu tidak boleh dinafikan. Walau sedikit gentar dan gegar, alhamdulillah, aku berjaya membuktikan yang aku boleh bertutur baik dalam bahasa arab. Kemudian setelah selesai temuduga KPLI aku terus mengejar temuduga yang satu lagi. Letih!

lahad datu

Dalam masa beberapa hari lagi, aku akan berhijrah ke satu bandar yang agak jauh dari rumahku. Kelmarin, aku menerima panggilan dari bahagian pendidikan. Seorang ustaz memberitahu aku telah berjaya temuduga GSTT lepas. Dan aku dikehendaki menghadiri hari perlantikan dan taklimat pada 22 hb ini. Nak bernanah mata mendengar nama tempat yang disebut. Takdir dari TUHAN meletakkan aku di tempat yang jauh seperti berada di Morocco dahulu. Aku – dengan izin ALLAH – akan mengajar di Sekolah Kebangsaan Pekan 1 Lahad Datu sebagai guru kontrak. Jarak daerah Lahad Datu dengan tempatku sekarang memakan masa sehari untuk sampai. Lihat nama tempat yang telah dibulat dengan dakwat merah di dalam gambar rajah di atas. “Sabar Al-Fannani. Anggap ini sebagai batu loncatan buat dirimu”. Nasihat seorang kawan yang terlalu rapat buatku. Merci Boucoup